SEREMBAN: Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini menjadi hospital kedua di negara ini yang melaksanakan program Menu Rahmah@Hospital.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, sebagai hospital rujukan utama di Negeri Sembilan, program itu mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit, malah juga pengunjung serta warga kerja hospital.
Menurut beliau, ia sesuai dengan hasrat kerajaan menerusi program itu untuk memastikan akses makanan seimbang, sihat dan berpatutan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Menu Rahmah @Hospital bukan sekadar usaha menurunkan kos sara hidup malah adalah komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pesakit, pengunjung dan warga kerja hospital tidak terpinggir daripada menikmati makanan berkualiti dan berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikianpada Majlis Pelancaran Menu Rahmah@ Hospital di Kafeteria HTJS, di sini, hari ini.
HTJS kini mempunyai 23 kepakaran klinikal dan menampung purata 5,023 kemasukan pesakit dan 32,665 pesakit luar setiap bulan.
Hospital Tuanku Fauziah, Perlis menjadi hospital pertama di negara ini menawarkan inisiatif itu.
Dr. Fuziah dalam pada itu berkata, KPDN kekal giat memastikan pelaksanaan program Menu Rahmah walaupun berdepan cabaran ekonomi dan persepsi segelintir pihak bahawa premis yang menawarkan inisiatif itu sukar ditemui.
“KPDN mengakui wujud kekurangan daripada segi promosi dan maklumat lokasi premis yang menawarkan Menu Rahmah walaupun inisiatif ini telah berjalan hampir dua tahun.
“Apabila ada teguran daripada orang ramai yang sukar mencari lokasi Menu Rahmah, kita perlu lebih agresif menguar-uarkan dan beri maklumat kepada rakyat. Sebelum ini ada portal khas, tetapi kami akan fikir mekanisme lebih efektif seperti perkongsian lokasi di laman web rasmi,” jelasnya. – UTUSAN










