TANGKAK: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pintu sempadan negara mungkin belum dibuka pada 1 Mac ini memandangkan tiada perbincangan ke arah itu dilakukan buat masa ini.
Kata Perdana Menteri, kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuka sempadan walaupun banyak membawa manfaat kepada sektor ekonomi terutama pelancongan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan langkah membuka sempadan kepada pelancong luar negara akan tetap dibuat suatu hari nanti.
“Cadangan itu (buka sempadan 1 Mac) akan dibincang oleh Kementerian Kesihatan dan mungkin menteri-menteri kuartet duduk sama bincang. Kalau perlu kelulusan Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kabinet, kita akan bincang.
“Tetapi setakat ini kita tak ada bincang lagi dan kalau belum (bincang) 1 Mac belum saya rasa (buka sempadan). Kita tunggu dahulu kerana saya tak nak mendahului Kementerian Kesihatan sebab mereka belum rujuk saya lagi. Kita tengah buat kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra, Padang Lerek, di sini.
Pada 8 Februari lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju membuka sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac ini, tanpa perlu melakukan kuarantin wajib.
Namun demikian Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ujian Covid-19 perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan sebelum berlepas dan sebaik sahaja tiba di pintu masuk utama negara.
Ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa pengumuman MPN itu bersifat politik, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu dan hanya membaca kenyataan yang dilaporkan akhbar.
Ismail Sabri berkata, banyak negara juga belum membuka sempadan masing-masing seperti Australia dan New Zealand selain terdapat negara yang menutup semula sempadan kerana kes Omicron tinggi di negara masing-masing. – UTUSAN