Mangsa banjir Sumatera diberi elaun 10,000 rupiah sehari

Mangsa banjir Sumatera diberi elaun 10,000 rupiah sehari

ANGGOTA tentera membersihkan lumpur di Hospital daerah Aceh Tamiang di Sumatera Utara, Indonesia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia merancang menyalurkan elaun sara hidup harian serta pampasan kewangan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir besar di Pulau Sumatera di tiga wilayah.

Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf berkata, kerajaan mempertimbangkan skim elaun sara hidup sebanyak 10,000 rupiah sehari (RM2.44) bagi setiap mangsa yang dipindahkan, bagi membantu mereka menampung keperluan asas sepanjang tempoh pemulihan.

Katanya, elaun tersebut akan diberikan selama tiga bulan sebaik sahaja mangsa ditempatkan di perumahan sementara atau kekal. Setiap individu dalam sesebuah keluarga akan menerima bantuan kewangan harian, bergantung kepada bilangan ahli keluarga.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga dengan lima orang ahli akan menerima 50,000 rupiah (RM12.21) sehari selama tiga bulan,” katanya sambil menambah jumlah bantuan itu masih dibincangkan.

Sehingga Jumaat, jumlah korban akibat banjir yang dicetuskan oleh Taufan Senyar mencecah 1,068 orang dengan lebih 190 individu hilang dan kira-kira 7,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.

Agensi Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) memaklumkan 577,600 penduduk terpaksa dipindahkan, manakala lebih 147,000 rumah musnah akibat bencana tersebut.

Kerajaan turut merancang menyalurkan bantuan sebanyak 3 juta rupiah (RM732) kepada setiap isi rumah terjejas bagi menggantikan perabot dan barangan keperluan asas yang rosak atau hilang, termasuk peralatan dapur dan kelengkapan rumah.

Kerajaan juga akan memberikan pampasan sebanyak 15 juta rupiah (RM3,664) kepada keluarga mangsa yang terkorban, manakala mangsa yang mengalami kecederaan serius akan menerima bantuan sebanyak 5 juta rupiah (RM1,221).

Saifullah berkata, kementeriannya setakat ini sudah menyalurkan lebih 100 bilion rupiah (RM24,800) dalam bentuk bantuan ke wilayah terjejas, sambil mengakui masih terdapat kawasan pedalaman yang belum menerima bantuan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×