WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak menolak kemungkinan berlakunya perang dengan Venezuela selain Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berikrar melaksanakan sekatan terhadap kekayaan minyak negara itu.
“Saya tidak menolak (perang), tidak. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro juga tahu apa yang saya mahukan, dia tahu semuanya,” kata Trump ketika ditemubual BBC.
Rubio yang bercakap dalam sidang media dua jam di Jabatan Negara AS juga enggan menyatakan secara jelas sama ada AS mensasarkan untuk menumbangkan Maduro, tetapi menegaskan akan terus menekan rejim itu.
“Adalah jelas status quo semasa dengan rejim Venezuela tidak boleh diterima oleh AS. Jadi ya, matlamat kami adalah mengubah dinamik itu dan itulah sebabnya presiden melakukan apa yang dilakukannya,” katanya.
Trump sebelum ini mengisytiharkan Venezuela dikelilingi sepenuhnya oleh armada terbesar yang pernah dibentuk dalam sejarah Amerika Selatan dan berikrar AS akan menghentikan penghantaran minyak Venezuela sebagai penguatkuasaan sekatan unilateral.
Pegawai kanan Trump, Stephen Miller menuduh Venezuela melakukan pemilikan semula (expropriation) terhadap syarikat AS yang terlibat dalam penerokaan minyak awal di wilayah berdaulat Venezuela.
Walaupun tindakan ketenteraan dan sekatan dilaksanakan, pentadbiran Trump setakat ini tidak meminta kelulusan rasmi Kongres untuk mengisytiharkan perang terhadap Venezuela.
Tinjauan Quinnipiac bulan ini menunjukkan 63 peratus pengundi AS menentang tindakan ketenteraan di Venezuela, manakala hanya 25 peratus menyokongnya.
Pentadbiran Trump sebelum ini menegaskan penempatan tentera adalah sebagai tindak balas terhadap penyeludupan dadah.











