KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan 30 peratus pasar raya utama di negeri ini terputus bekalan telur.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, penemuan itu diperolehi hasil pemeriksaan di 26 pasar raya utama di seluruh negeri.
Bagaimanapun, katanya, pasar raya yang terjejas sudah membuat tempahan dengan pemborong dan proses agihan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Menurutnya, gangguan yang timbul itu disebabkan jumlah penerimaan telur yang berkurangan pada Disember 2021.
“Bekalan telur menurun 50 peratus kepada 450,000 biji sahaja berbanding 900,000 biji yang diterima pada November.
“Pihak pembekal memaklumkan punca utama penurunan mendadak itu adalah kerana faktor cuaca di samping kos makanan dan buruh yang semakin meningkat hingga mereka terpaksa mengurangkan bilangan ayam telur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan gangguan bekalan telur ayam di daerah ini terutama bagi gred A, B, C dan D.
Sehubungan itu, Saharuddin menasihatkan pengguna agar tidak panik dan membeli secara berhemah bagi mengelak gangguan bekalan telur di pasaran.