ARAU: Pesara guru menjadikan ruang tamu di rumahnya di Kampung Mata Ayer, di sini, sebagai galeri dengan lebih 300 koleksi barangan antik dan bersejarah Malaysia.
Mohamad Jusoh Md. Isa, 63, mendirikan galeri itu pada 2008 dan antara koleksi dimiliki ialah bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan 11 jalur yang digunakan dari tahun 1957 sehingga 1963.
Ada manuskrip lama sekitar tahun 1900 berkaitan petua ubat-ubatan tradisional termasuk kad jemputan pertabalan Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 1949.
Gobek atau lesung api digunakan secara meluas di Tanah Melayu turut menjadi antara koleksi galeri itu.
“Saya mengumpul barangan ini sejak 1982 dan membelanjakan sekitar RM20,000 mendapatkan koleksi bersejarah itu.
“Ada yang saya kumpul dan ada juga diperolehi daripada kenalan dan dibeli di platform e-dagang daripada pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India,” katanya.
Katanya, usaha mengumpulkan koleksi-koleksi itu bertujuan memupuk semangat cintakan warisan dan sejarah negara agar tidak luput ditelan zaman.
“Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat yang tahu mengenai sesuatu barangan lama itu tapi mereka tidak dapat lihat secara nyata kerana ia sukar diperolehi lagi pada masa kini.
“Sebab itu saya cuba untuk simpan koleksi barangan lama dan bersejarah ini agar dapat dilihat oleh generasi akan datang,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini juga kerap menerima lawatan daripada individu, sekolah mahu pun badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melihat secara dekat koleksi barangan di galeri berkenaan.
Malah beliau juga tidak lokek meminjamkan barangan di situ kepada agensi mahupun pelajar-pelajar untuk tujuan pameran dan sebagainya. – UTUSAN










