891 kenderaan kena tindakan di NS - Utusan Malaysia

891 kenderaan kena tindakan di NS

HANIF Yusabra Yusuf bertemu pemandu bas ketika mengadakan Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan Op Tahun Baharu Cina 2022 di perhentian bas dan teksi Terminal 1, Seremban, malam semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 2,034 notis kesalahan membabitkan 891 buah kenderaan sepanjang Op Tahun Baharu Cina 2022.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 7,153 kenderaan semasa penguatkuasaan tersebut yang diadakan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu.

Katanya, kesemua notis kesalahan tersebut melibatkan kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan, kesalahan teknikal, pelesenan pemandu, tujuh kesalahan utama dan kesalahan berkaitan muatan.

“Sepanjang tempoh berkenaan, JPJ melaksanakan tujuh strategi penguatkuasaan seperti pemeriksaan bas di depoh serta terminal, rondaan di lebuh raya dan jalan utama dan penguatkuasaan motosikal.

“Turut dilakukan penyamaran sebagai penumpang bas, rakaman video kesalahan secara elektronik di lebuh raya dengan menggunakan kamera kenderaan penguatkuasaan (EAC), aduan awam dan ceramah keselamatan jalan raya di agensi-agensi pejabat kerajaan dan university awam dan swasta,” katanya dalam sidang akhbar Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan Op Tahun Baharu Cina 2022 di perhentian bas dan teksi, Terminal 1 di sini malam semalam.

Sementara itu, tambahnya, sebanyak 29 buah bas dinaiki anggota JPJ ketika strategi penyamaran sebagai penumpang bas bagi meningkatkan Perception Of Being Cought (POBC) kepada pemandu.

“Daripada jumlah itu sebanyak 13 buah bas diambil tindakan dengan jumlah kesalahan melibatkan 23 kes. Antara kesalahan yang dilakukan adalah seperti memandu di lorong kanan secara berterusan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu secara berterusan melebihi 300 kilometer, tata kelakuan seperti merokok dan pemakaian pemandu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN