2,864 ladang ternakan ayam berdaftar boleh mohon subsidi

2,864 ladang ternakan ayam berdaftar boleh mohon subsidi

RONALD Kiandee (tengah) melawat pameran Road to Expo 2020 Dubai selepas Program Sesi Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua penternak ayam di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) boleh memohon subsidi khas yang diumum kerajaan semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, mereka boleh berbuat demikian mulai 5 Februari lalu sehingga tamat tempoh inisiatif tersebut pada 4 Jun ini.

 “Ini antara usaha kementerian bagi meringankan beban kewangan ditanggung mereka yang berdepan kos amat tinggi terutama pembelian makanan dedak untuk ayam diternak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan portal bersepadu terbaharu, MyAgro Trade dan Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022 di Wisma Tani, di sini hari ini.

 Semalam, beliau mengumumkan pemberian subsidi melibatkan sebanyak 60 sen sekilogram bagi ayam daging dan lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis gred iaitu A, B dan C bagi membantu penternak kerana kos makanan sahaja meliputi 70 peratus daripada pengeluaran manakala bakinya meliputi caj logistik, gaji pekerja, bil utiliti dan ubat.

 Mengulas lanjut, Ronald berkata, permohonan dengan dokumen lengkap boleh diserahkan terus kepada AgroBank selaku agensi kementerian itu yang bertanggungjawab isu tersebut.

 “Maklumat penternak ini akan dirujuk untuk disemak silang dengan pihak JPV sebagai agensi pemantau dan setelah lulus, bayaran akan masuk segera kepada akaun mereka,” katanya.

 Ronald berharap menerusi usaha subsidi berkenaan yang melibatkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM528 juta, bekalan daging ayam dan telur di pasaran kekal stabil, bahkan memberi jaminan pengguna tidak perlu bimbang terputus bekalan sebab dalam tempoh empat bulan, harga dikawal dan tiada kenaikan seperti berlaku sebelum ini.

Justeru, beliau optimis, gangguan bekalan yang lazim muncul setiap kali musim perayaan tiba tiada lagi tahun ini sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak, sebaliknya memohon penternak ayam pedaging dan penelur untuk fokus kepada penambahan pengeluaran bagi memenuhi permintaan tinggi dari masyarakat.

 Ketika ini, penternak di Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 juta ayam penelur yang mampu mengeluarkan hampir 10 bilion telur setiap tahun dan lebih 300,000 ekor ayam pedaging. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya