Ketua kampung perlu turun padang, jadi mata dan telinga kerajaan - Utusan Malaysia

Ketua kampung perlu turun padang, jadi mata dan telinga kerajaan

NGA Kor Ming (dua dari kanan) bersama penerima watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak 2026/2028 di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Kampung Baru Cina disaran agar sentiasa turun padang bagi meninjau dan memahami secara dekat permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, mereka perlu berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan agar setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat dikenal pasti dan ditangani secara proaktif.

“Pelantikan sebagai ketua kampung bukan saja merupakan satu pengiktirafan, malah menjadi satu amanah yang perlu dipikul.

“Sebab itu, saranan saya jelas bahawa setiap ketua kampung perlu berada di lapangan untuk menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.

“Jadilah ketua kampung yang disenangi oleh penduduk dan sentiasa mencari ikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak 2026/2028, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 160 ketua Kampung Baru Cina dari seluruh negeri telah menerima watikah pelantikan JPKK masing-masing.

Dalam perkembangan sama Kor Ming berkata, KPKT kekal komited dalam memperkasa pembangunan Kampung Baru Cina di seluruh negara.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi empat hala tuju utama yang digariskan iaitu pembangunan, pengindahan, pelancongan serta pengukuhan produk tempatan melalui inisiatif ‘Kampung Good’.

“Semua ini sudah tentu memerlukan kerjasama ketua kampung. Sebab itu tahun ini, bagi negeri Perak, pejabat Menteri akan memilih 10 ketua kampung berprestasi tinggi untuk diberikan imbuhan serta pengiktirafan.

“Saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya ketua kampung yang benar-benar berjasa, berbakti dan komited dalam tugas turut diberikan pengiktirafan termasuk bonus sebagai galakan untuk mereka terus tekun berkhidmat kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN