180 penumpang cemas, enjin lokomotif terbakar - Utusan Malaysia

180 penumpang cemas, enjin lokomotif terbakar

TANGKAP layar bahagian enjin kereta api terbakar di Pasir Mas, Kelantan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 180 penumpang Ekspres Rakyat Timuran No. 27 dari Tumpat ke Johor Bharu berdepan detik cemas apabila bahagian enjin kereta api itu terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi, Chetok di sini malam tadi.

Bagaimanapun kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden pukul 9.44 malam itu.

Mereka kemudiannya dibawa keluar dan ditempatkan di Stesen Pasir Mas sementara menunggu perjalanan seterusnya untuk ke destinasi masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Shapawi Setapa berkata, sejurus menerima panggilan, pihaknya bergegas ke lokasi dan mendapati bahagian enjin kereta api yang menarik 13 gerabak lain telah terbakar.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.11 tengah malam dengan bantuan anggota dari BBP Tanah Merah serta Pasukan Bomba Sukarela Rong Chenok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd. Zain Mat Taha berkata, kesemua 180 penumpang yang terlibat dalam insiden kembali meneruskan perjalanan pada pukul 2.46 pagi.

“Lokomotif yang membawa seramai 180 penumpang itu dalam perjalanan dari Stesen Tumpat ke Kempas Baru di Johor Bahru.

“Kebakaran hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang,” katanya.

Mohd. Zain memberitahu, kesemua penumpang berjaya dikeluarkan ke tempat selamat hasil bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB. 

“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Sebarang maklumat boleh hubungi talian KTMB di 03-2267 1200,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya