Wujudkan industri makanan ternakan negara - Cake - Utusan Malaysia

Wujudkan industri makanan ternakan negara – Cake

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa kerajaan supaya  mewujudkan industri penghasilan makanan haiwan ternakan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan daripada seluruh penternak dalam negara.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, negara tidak boleh lagi bergantung kepada dedak yang diimport berikutan harga pasaran tidak menentu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peningkatan harga makanan haiwan ternakan itu sejak kira-kira setahun lalu.

“Kenaikan harga dedak yang kini dijual lebih RM100 sekampit dengan berat 50 kilogram (kg) semakin membebankan penternak.

“Sejak tahun lalu, harga dedak ternakan naik empat kali dan hampir setiap hari saya terima aduan dan keluhan daripada penternak berkaitan kenaikan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selain harga import dedak tinggi, kenaikan harga juga dipercayai berpunca daripada penurunan mata wang negara.

Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya telah beberapa kali mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan industri makanan ternakan negara termasuk dalam penghasilan dedak.

“Kita belum nampak sebarang usaha yang serius ke arah itu dan berharap kerajaan dapat bertindak segera.

“Kerajaan mungkin boleh keluarkan geran kepada anak-anak muda untuk tanam dan hasilkan makanan asas untuk pertanian seperti jagung iaitu salah satu bahan yang digunakan dalam penghasilan dedak,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga boleh menetapkan harga kawalan dengan menetapkan harga siling bagi makanan haiwan ternakan dedak supaya ia tidak terus naik dan membebankan penternak.

Utusan Malaysia pada 3 Januari lalu melaporkan kenaikan harga dedak yang dikaitkan dengan ketidakstabilan harga ayam terus berlaku pada tahun baharu ini sekali gus mengundang keluhan dalam kalangan penternak.

Seorang penternak, Mazlina Kamarudin, 54, berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kenaikan harga dedak sebanyak RM1 bagi setiap kampit seberat 50 kilogram berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Katanya, pada masa ini, harga borong dedak adalah RM115 sekampit manakala harga runcit pula lebih RM126 sekampit.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN