PETALING JAYA: Kesiapsiagaan bencana di Kundasang, Ranau dan Kota Kinabalu diperkukuh melalui pemetaan sesar aktif, pemasangan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) dan pemantauan cerun kritikal di Kundasang bagi menjamin keselamatan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, lawatan ini menunjukkan penggunaan teknologi, kepakaran saintifik dan pemantauan berterusan dalam mengenal pasti risiko lebih awal serta memperkukuh tindakan mitigasi sebelum bencana berlaku.
“Antara kawasan yang dilawat adalah Kundasang View Point, Kampung Lembah Permai, Sabah Tea Ranau, SK Kokol Menggatal serta Country Height Apartment, Bundusan yang melibatkan pemantauan kawasan cerun aktif, sistem amaran awal dan penilaian risiko pergerakan tanah.
“Selain itu, lawatan turut melibatkan kawasan Kampung Lembah Permai yang pernah mengalami kejadian rayapan tanah pada Februari 2023 serta kawasan cerun kritikal di Country Height Apartment, Bundusan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada September 2025 lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Syed Ibrahim, beliau turut meluangkan masa berinteraksi bersama komuniti Kampung Lembah Permai, guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Kokol serta Jawatankuasa Pengurusan Country Height Apartment.
Katanya, sesi turun padang itu bagi mendengar sendiri kebimbangan dan cabaran penduduk berkaitan keselamatan kawasan kediaman yang terdedah kepada risiko bencana geologi.
“Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk bukan sahaja memperkukuh tindakan pencegahan, tetapi juga memastikan komuniti yang tinggal di kawasan berisiko terus diberi perhatian dan perlindungan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN









