PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengesahkan telah selesai memberi keterangan kepada polis selama kira-kira 40 minit susulan kontroversi hantaran Facebook berkaitan Rukun Negara, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu berkata, beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 1.30 tengah hari bagi mengatur pertemuan untuk dirakam keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selepas polis menerima lebih 80 laporan terhadapnya.
“Saya menawarkan diri untuk hadir ke IPD Shah Alam esok pagi, namun pegawai penyiasat memaklumkan beliau menerima arahan supaya rakaman percakapan diambil hari ini juga.
“Jadi janji temu dibuat di Petaling Jaya pada pukul 4 petang hari ini. Saya memberikan kerjasama penuh kepada dua pegawai IPD Shah Alam yang sangat profesional. Proses itu mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tony memaklumkan laporan pertama terhadapnya dibuat di Sri Muda, Shah Alam sebelum puluhan lagi laporan hampir sama diterima dari seluruh negara.
Katanya, semasa rakaman percakapan diambil, beliau mengesahkan bahawa hantaran Facebook berkenaan ditulis sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Apabila ditanya mengenai tujuan hantaran itu dibuat, saya menjawab bahawa ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara. Apabila ditanya maksud hantaran tersebut, saya menjawab ia seperti mana yang telah ditulis,” katanya.
Dalam pada itu, Tony berkata, beliau masih belum dimaklumkan sama ada tindakan lanjut akan diambil terhadapnya susulan siasatan berkenaan.
“Saya juga tidak tahu siapa lagi yang mungkin dipanggil memberi keterangan kerana saya tidak bertanya mengenainya,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar mengesahkan polis membuka kertas siasatan terhadap Tony susulan hantaran di akaun Facebook veteran DAP yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Selasa lalu, Tony membuat hantaran di Facebook bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kuasa seseorang raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.
Kenyataan tersebut dibuat tidak lama selepas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir ke Dataran Selangor setiap minggu bagi memahami serta menghayati makna sebenar Rukun Negara. – UTUSAN










