Lelaki tempatan maut ditetak depan kedai makan - Utusan Malaysia

Lelaki tempatan maut ditetak depan kedai makan

SEORANG lelaki tempatan berusia 22 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang lelaki tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.53 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian telah ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan serta kaki,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Hadzrat Hussien, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-7578020 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN