PETALING JAYA: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan seramai sembilan atlet angkat berat negara berjaya melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2026 yang dijadual berlangsung di Glasgow pada 24 hingga 31 Julai ini.
Bagaimanapun, badan induk itu memaklumkan pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dalam masa terdekat.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan berkata, dua atlet negara iaitu Muhamad Aznil Bidin dan Syahmi Nor layak secara automatik ke temasya itu selepas masing-masing meraih pingat emas dalam kategori 65 kilogram (kg) dan 88kg di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad.
“Walau bagaimanapun, saya secara peribadi tidak begitu gembira dengan pencapaian keseluruhan atlet-atlet negara semasa kejohanan kelayakan di Ahmedabad yang berakhir pada 18 Mei lalu.
“Prestasi dan jumlah angkatan yang dipamerkan masih belum mencapai tahap sebenar yang diharapkan oleh PABM. Masih terdapat banyak ruang penambahbaikan dari segi prestasi, konsistensi dan kekuatan mental atlet untuk bersaing di pentas besar seperti Sukan Komanwel 2026,” katanya.
Tujuh lagi atlet yang berjaya berada dalam senarai kelayakan awal berdasarkan ranking Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) bagi Komanwel Glasgow 2026 adalah Mohamad Aniq Kasdan kategori 60kg, Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), Muhammad Farris Haikal (atas 110kg), Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana (atas 86kg).
Ayub turut berkata, badan induk itu menyasarkan tiga pingat emas pada temasya tersebut berdasarkan prestasi semasa atlet-atlet negara yang semakin konsisten di peringkat antarabangsa.
“Kita tidak mahu sekadar layak. Kita mahu hadir sebagai pencabar pingat emas dan memberikan saingan sebenar kepada negara-negara lain,” katanya.-UTUSAN










