Wisma Putra sahkan Indonesia nafi ada tuntutan ke atas Tubir Selatan - Utusan Malaysia

Wisma Putra sahkan Indonesia nafi ada tuntutan ke atas Tubir Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa kononnya Indonesia mengakui Tubir Selatan sebagai milik negara itu dinafikan pemerintah republik berkenaan.

Kementerian Luar berkata, pihaknya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri Indonesia serta diberitahu memang tiada pun kenyataan sedemikian yang pernah dibuat.

“Semakan telah dilakukan dengan pihak Indonesia mengenai perkara ini dan dimaklumkan bahawa tiada kenyataan seperti yang dilaporkan,” kata kenyataan Wisma Putra merujuk kepada beberapa pertanyaan pihak media mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian yang disiarkan oleh Defense Security Asia pada Selasa lalu.

Portal berita pertahanan itu mencetuskan kontroversi apabila melaporkan tajuk yang bernada pertanyaan: ‘Indonesia dakwa Tubir Selatan, Karang Singa miliknya. Malaysia bagaimana?’

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, laporan tersebut merujuk berita yang disiarkan menerusi stesen swasta Indonesia, Kompas TV dan program Liputan6 SCTV pada 14 Januari lalu.

Bagaimanapun hasil pemerhatian mendapati, portal tempatan itu kemungkinan tersilap faham maksud disampaikan oleh Tito merujuk Karang Singa dan Karang Selatan di Kepulauan Riau.

Dua terumbu yang berbatu itu terletak di Bintan, sebuah perbandaran di wilayah kecil tersebut; langsung tiada kaitan pun dengan jirannya, Tubir Selatan atau Batuan Tengah.

Wisma Putra merujuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 menyatakan kedaulatan Tubir Selatan mengikut perairan negara yang jelas menguasainya.

“Susulan penghakiman kes ini, Malaysia dan Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama pada tahun tersebut bagi melaksanakan keputusan mahkamah itu. Kerajaan Malaysia sentiasa komited menyelesaikan isu persempadanan maritim serta akan memastikan kedaulatan dan kepentingan negara ini terus terpelihara rapi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya