VTL masih dalam penilaian atau kurangkan kepada 50 peratus - Utusan Malaysia

VTL masih dalam penilaian atau kurangkan kepada 50 peratus

ORANG ramai menaiki bas di Singapura untuk masuk ke Malaysia menerusi VTL darat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penilaian semasa risiko Covid-19 sedang dilakukan sebelum memutuskan sama ada meneruskan kuota asal inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara atau mengurangkan kepada 50 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, penangguhan penjualan tiket VTL bermula 22 Disember hingga 20 Januari ini adalah disebabkan kebimbangan ancaman varian Omicron.

“Malaysia dan Singapura kini sedang menilai keadaan semasa sama ada untuk meneruskan VTL darat dan udara dengan kuota asal iaitu 1,440 bagi kedua-dua laluan atau kurangkan sehingga 50 peratus kerana varian Omicron menjadi kebimbangan utama ketika ini.

“(Kalau) ikut perbincangan asal, pada 21 Januari nanti Malaysia dan Singapura akan kurangkan kuota VTL sebanyak 50 peratus, seperti yang dipersetujui pada bulan lalu.

“Namun keputusan akhir nanti kita akan maklumkan semula menjelang 20 Januari nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pencapaian 11 Juta TEU di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Sebelum ini, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL darat serta udara digantung sementara mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan berhubung kluster tempatan Covid-19 melibatkan tiga kes positif.

Skim VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Larkin Sentral, manakala VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, setakat ini, 37,783 individu sudah menggunakan skim VTL udara sejak dilancarkan 29 November hingga 21 Disember lalu.

“Malaysia berharap VTL dapat diteruskan namun dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan selamat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN