SEPANG: Layanan buruk tentera Israel ke atas peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang dipaparkan menerusi video dimuat naik Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir semalam telah berjaya membuka mata dunia.
Apa tidaknya, penyebaran video itu menjadi titik tolak penting kepada pembebasan tanpa syarat diberikan tentera Iseael kepada kesemua 428 peserta GSF 2.0, hari ini.
Lebih manis, kesemua aktivis itu berjaya dibebaskan tanpa perlu melangkah walau setapak ke dalam penjara kontroversi, Penjara Ketziot di Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, insiden penahanan dan penculikan itu telah memicu kemarahan dan kecaman antarabangsa.
Beliau berkata, kemarahan itu kemudian dizahirkan dalam bentuk kenyataan negara, saman dan aksi demonstrasi yang digerakkan di beberapa negara.
“Gerakan demonstrasi itu dilihat di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal.
“Malah, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis itu.
“Jadi, kemarahan dunia itu saya lihat merebak begitu cepat sehinggakan mereka Israel menerima pelbagai kecaman, ugutan dan nota diplomatik yang mengecam insiden itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini bukan sekadar terhad kepada kecaman sahaja sebaliknya disusuli ancaman sekatan ekonomi dan diplomatik, tindakan perundangan, pengeluaran waran serta nota diplomatik oleh pelbagai pihak terhadap rejim israel.
Sani Araby berkata, beliau melihat pembebasan aktivis kali ini akibat tekanan yang semakin meluas dan luar jangka, termasuk kesan terhadap reputasi serta tekanan langsung kepada rejim itu.
“Mengikut rancangan awal, kesemua aktivis itu akan ditahan dalam tempoh panjang di Penjara Ketziot. Bagaimanapun, akhirnya rancangan itu digugurkan dan semua tahanan dibebaskan tanpa syarat,” katanya.
Katanya, tekanan diterima Israel kali ini bukan lagi datang daripada negara-negara besar dunia sebaliknya kemarahan itu datang daripada rakyat mereka sendiri dan juga negara sekutu mereka.
Jelasnya lagi, beliau boleh rumuskan bahawa 2026 sebagai tahun yang berjaya buat GSF dan misi kemanusian yang telah berjaya membuka mata dunia serta menggoncang moral zionis Israel.-UTUSAN










