SEREMBAN: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakan serumahnya warga India di Taman Happy di Port Dickson, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Hassan, 25, yang merupakan seorang pekerja am di sebuah kilang penapisan minyak di Port Dickson mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin. Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah membunuh seorang lelaki warga India, Vishavdeep Singh, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Happy, Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson lebih kurang pukul 12.37 tengah malam hingga 1.50 pagi pada 3 Januari 2022. Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
- Menyorok lima jam di mahkamah elak dirakam
- Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut – Ogy Ahmad Daud
- Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
MUHAMMAD Hassan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh rakan serumahnya di pada awal bulan ini dalam kejadian di Port Dickson, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, gara-gara mabuk seorang lelaki warga India maut ditikam dengan pisau selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek lelaki warga Pakistan di sebuah rumah di Taman Happy Garden, Batu 1, Jalan Pantai di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, pada 2.35 pagi, 3 Januari lalu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson membuat tangkapan terhadap suspek seorang lelaki warga di hadapan rumah teres dua tingkat tersebut. – UTUSAN ONLINE