SEREMBAN: Satu sindiket penyuludupan migran ditumpaskan dalam serbuan di sebuah rumah penampungan di Taman Bukit Kepayang di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, serbuan pada pukul 11.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras selepas menerima maklumat risikan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kediaman tersebut dijadikan rumah transit untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menunggu masa diseludup keluar dari negara ini melalui laluan haram.
“Dalam serbuan itu, seramai 22 individu warga Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun ditahan yang terdiri daripada 20 orang lelaki dan dua orang wanita.
“Mereka dipercayai berperanan sebagai tekong darat, penjaga atau pengurus rumah penampungan serta migran yang cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azahar berkata, modus operandi sindiket dikesan telah menyewa rumah di kawasan berkenaan dengan kadar RM800 bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Rumah itu dijadikan pusat transit sementara menunggu koordinasi bagi membawa migran pulang ke negara asal melalui jalan haram,” katanya.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migram (ATIPSOM) 2007 serta kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.-UTUSAN.










