Seramai tujuh PATI hilang bot karam di Pontian

Tujuh PATI hilang bot karam di Pontian

TIGA migran wanita bersama dua tekong yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka tenggelam dilanda ombak besar di perairan Pulau Pisang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, empat wanita bersama dua tekong berusia 25 hingga 30 tahun telah diselamatkan oleh nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

Manakala, seorang lagi mangsa dilaporkan kritikal dan dibawa ke Hospital Pontian (HP) bagi menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil maklumat awal, bot gentian kaca dikendalikan dua tekong terbabit berlepas dari Pulau Batam, Indonesia kira-kira pukul 7 malam.

“Bot tersebut dinaiki dua tekong bersama 11 orang PATI perempuan disyaki cuba memasuki negara ini melalui jalan haram. Ketika menghampiri perairan Pulau Pisang, bot yang dinaiki telah dipukul ombak dan terbalik sebelum karam,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Nelayan Pontian Besar hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, kesemua mangsa yang masih hilang terdiri daripada tujuh wanita juga berusia antara 25 hingga 30 tahun.

“Mereka dikatakan menjadikan Pontian sebagai persinggahan sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk tujuan bekerja sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian serta Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain nelayan.

“Maklumat mengenai kejadian tersebut diterima pada pukul 10 pagi tadi dari Nelayan Pontian Besar yang telah menyelamatkan enam mangsa tersebut,” katanya.

Tambah beliau, satu bilik Operasi telah dibuka di Persatuan Nelayan Kawasan Pontian yang turut melibatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian selain Polis  Diraja Malaysia ( PDRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya