Ektremis guna agama pengaruhi anak muda - Utusan Malaysia

Ektremis guna agama pengaruhi anak muda

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 dengan diiringi Anwar Ibrahim. Turut hadir Setiausaha Agung Liga Islam Dunia, Datuk Seri Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa (dua dari kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan ekstremis sedang bersaing dengan agamawan untuk mempengaruhi anak muda, demi mengaut keuntungan dengan menjadikan golongan itu sebagai senjata untuk membawa naratif perpecahan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bahawa kelompok pelampau itu tidak mendekati anak muda dengan manifesto politik yang ‘kering’, sebaliknya berselindung di sebalik kitab suci dengan memetik ayat-ayat seperti agamawan.

Baginda bertitah, golongan muda terdedah kepada pujukan, pengaruh dan asakan secara berterusan oleh suara yang membawa naratif negatif mengenai agama.

“Suara itu bukanlah seorang agamawan. Ia bukan imam, paderi, rabai atau sami. Ia adalah algoritma. Perkara itu digunakan demi keuntungan oleh pihak-pihak yang mengaku berpegang kepada agama, namun sedang mereka jadikan senjata.

“Maklumat palsu dijana oleh kecerdasan buatan (AI), dibungkus dengan bahasa keluhan dan ketidakpuasan hati, kini sampai kepada ratusan juta anak muda pada skala dan kelajuan yang tidak pernah mampu dicapai oleh mana-mana khutbah.

“Naratif perpecahan sedang dimenangi oleh suara-suara yang tidak kita kawal, di platform yang bukan milik kita, dalam bahasa yang terlalu lambat kita pelajari,” titah baginda pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di sini, semalam.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baginda bertitah, golongan ekstremis memanfaatkan pencarian makna hidup, kejelasan tujuan dan maruah diri golongan muda, dan kemudiannya dipesongkan daripada belas ihsan kepada rasa dendam.

Tambah baginda, mereka menawarkan rasa ‘kekitaan’ yang lahir daripada kewujudan musuh yang dibayangkan.

“Jika kita tawarkan sebagai balasan hanyalah ceramah yang dianggap jauh dari realiti, menggunakan bahasa yang sudah tidak lagi dituturkan oleh anak muda, disampaikan di bangunan yang sudah tidak lagi mereka kunjungi, maka kita sebenarnya datang membawa manuskrip ke medan pertempuran yang sedang berlangsung di telefon pintar.

“Jika kita menyerahkan tugas membina rasa kekitaan kepada mesin dan mereka yang memanipulasinya, kita tidak seharusnya tertanya-tanya ke mana perginya anak-anak muda kita.

“Maka persoalan sukar yang perlu ditanya setiap pemimpin adalah, adakah golongan muda dalam komuniti kita merasakan tradisi agama mereka sebagai sumber hidup yang memberi rasa memiliki,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN