Tidak perlu tubuh badan bebas siasat Azam Baki- PM - Utusan Malaysia

Tidak perlu tubuh badan bebas siasat Azam Baki- PM

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa sidang akhbar di Kota Marudu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada keperluan menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat kes berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM) Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem yang ada sudah cukup untuk menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan biarlah siasatan dilakukan terlebih dahulu.

Beliau berkata, sebagai suruhanjaya bebas, SPRM mempunyai tatacara tersendiri untuk mengendalikan kes berkenaan menerusi siasatan dalaman iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

“Malah, Suruhanjaya Sekutiri Malaysia (SC) juga sedang menjalankan siasatan jadi, tunggu keputusan yang dibuat. Kalau ada siasatan lain oleh polis dan sebagainya, kita tunggu siasatan (selesai).

“Kita tidak boleh membuat andaian sendiri dan meletakkan Azam Baki seolah-olah telah didapati bersalah. Itu tidak wajar sebab semua orang berhak menbela diri masing-masing semasa siasatan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Kota Marudu, hari ini.

Ismail Sabri turut menepis andaian seolah-olah kerajaan berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut. Itu salah kerana tindakan telah dilakukan.

Menurut beliau, SPRM ditubuhkan bagi menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang dahulu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri kerana tidak mahu kerajaan terutama Perdana Menteri campur tangan secara langsung.

“Sekarang mereka nak saya campur tangan pula jadi, saya harap kita kena konsisten dengan apa kita lakukan. 

“Kalau kita kata SPRM sebuah badan bebas supaya tiada campur tangan secara langsung daripada kerajaan terutama Perdana Menteri jadi, biarlah prinsip itu kita kekalkan. 

“Namun, saya sendiri memberi jaminan bahawa saya tidak akan berkompromi jika ada isu berkaitan dengan salah laku sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, kita mesti berlaku adil kepada sesiapa pun supaya selesai segala proses siasatan, baru kita membuat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, buat masa ini tiada keperluan untuk Azam Baki direhatkan kerana siasatan belum membuktikan dia bersalah.

Semasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah dahulu berkaitan isu rasuah tidak kedengaran daripada Pakatan Harapan (PH) meminta supaya dia berhenti atau diberikan cuti.

Jelas Ismail Sabri, apa pun tindakan yang diambil tidak boleh bersifat berat sebelah dengan meminta Azam Baki direhatkan namun, semasa kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tiada yang bising meminta dia direhatkan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya