KUALA NERUS: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan tiada rombakan Kabinet kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagaimana khabar angin yang bertiup.
Hishammuddin berkata, sepanjang pengetahuannya setakat hari ini tiada sebarang perubahan kepemimpinan akan berlaku.
“Setahu saya, secara peribadi tiada (rombakan), tetapi saya nak tekankan bahawa hak untuk menentukan Kabinet bukan hak saya, itu hak Perdana Menteri.
“Disebabkan bukan hak saya, maka tidak perlu untuk saya memikirkannya,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, di sini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.
Bagaimanapun sumber memberitahu, rombakan berkenaan masih dalam proses tawar-menawar untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.
Sebelum ini, Ismail Sabri mengesahkan tiada perbincangan berhubung rombakan menteri atau timbalan menteri dalam mesyuarat Kabinet, sebaliknya hanya menjurus kepada dua perkara utama iaitu masalah banjir dan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada mulutnya berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi. – UTUSAN










