Hamas sedia laksana pelan Gaza, tuduh Israel halang gencatan senjata - Utusan Malaysia

Hamas sedia laksana pelan Gaza, tuduh Israel halang gencatan senjata

PENDUDUK Palestin melihat anggota Pertahanan Awam menggali runtuhan Menara Al-Muhandisin di tengah Gaza yang musnah akibat serangan Israel menyasarkan Hamas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Hamas bersedia melaksanakan pelan hala tuju Gaza yang dipersetujui bersama Lembaga Keamanan.Bagaimanapun, ia menuduh kerajaan Israel menghalang pelaksanaan pelan berkenaan dan gencatan senjata di wilayah Palestin itu.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan berkata, kumpulan pejuang itu bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan hala tuju yang dipersetujui bersama lembaga tersebut. Namun, beliau menambah semua langkah yang diperlukan untuk melaksanakannya sudah dilakukan oleh Hamas.

Hazem turut menyalahkan kerajaan Israel kerana menghalang sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan pelan hala tuju berkaitan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menuduh Israel enggan memenuhi komitmennya, selain meningkatkan sera­ngan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Hazem juga menggesa semua pihak, khususnya pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan lembaga berkenaan supaya memudahkan kemasukan jawatankuasa teknokrat ke Semenanjung Gaza supaya ia dapat melaksa­nakan tanggungjawabnya terhadap rakyat di wilayah itu.

Beliau turut menggesa pe­nempatan pasukan antarabangsa seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian gencatan senjata dan pelan hala tuju itu.

Lembaga Keamanan pada Julai mengumumkan pelan hala tuju 15 perkara yang memperuntukkan pelucutan senjata Hamas dan kumpulan Palestin lain, penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah jawatankuasa kebangsaan Palestin serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak pelan hala tuju it pada Ogos dengan menegaskaun pelucutan senjata sepenuhnya perlu dilakukan sebelum sebarang pengunduran tentera Israel. 

Hamas kemudian menggesa tekanan antarabangsa dikenakan terhadap Israel supaya me­laksanakan pelan yang dipersetujui itu.

Dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Ogos, Utusan Khas AS bagi Gaza, Nickolay Mladenov berkata, Hamas dan kumpulan bersenjata lain buat pertama kali bersetuju menyerahkan senjata mereka serta memindahkan kuasa pentadbiran awam termasuk ke­selamatan kepada pentadbiran peralihan Palestin. 

Beliau menyifatkan pelucutan senjata dan pengunduran Israel sebagai langkah yang saling berkait, dengan kemajuan pelaksanaannya akan disahkan.

Menerusi pelan hala tuju itu, proses pelucutan senjata akan dikendalikan oleh pihak Palestin. Senjata yang dilucutkan itu akan diserahkan kepada pentadbiran Palestin dan bukannya Israel. 

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza yang ditubuhkan pada Januari di bawah pimpinan Ali Shaath, bertujuan mengurus perkhidmatan dan tanggungjawab lain sepanjangtem tempoh peralihan.

Majlis Keselamatan PBB pada November 2025 meluluskan Resolusi 2803, yang menyokong rangka kerja tajaan AS bagi pentadbiran peralihan Gaza dan memberi kuasa kepada penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa sementara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×