Tiada orang tengah bawa masuk pekerja asing - Utusan Malaysia

Tiada orang tengah bawa masuk pekerja asing

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada lagi sistem orang tengah atau ejen pekerja asing dalam proses membawa masuk pekerja asing terutama daripada Bangladesh.

Perkara itu adalah antara maklum balas positif yang diterima ekoran hasil perbincangan dua hala antara Gesaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) dengan Kementerian Sumber Manusia, semalam.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, hal ini kerana sistem Agensi Pekerjaan Swasta (APS) sedia ada tidak lagi membenarkan ejen sebagai majikan membayar gaji kepada pekerja asing, sebaliknya bertanggungjawab sebagai penyelia.

“Sistem calling visa juga tidak lagi digunakan di dalam hal ini. Tiada lagi kelulusan khas melalui minit-minit menteri akan diterima.

“Kesemua proses akan melalui kebenaran Jawatankuasa Khas berkenaan Kebenaran Pekerja Asing. Penguatkuasaan Akta 446 juga lebih diperketat bagi memastikan hak-hak pekerja asing di Malaysia terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas hasil perbincangan antara pihaknya dan Semboyan bersama Kementerian Sumber Manusia yang dihadiri Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan serta pegawai kementerian susulan memorandum berhubung gesaan penangguhan sementara keputusan proses pengambilan pekerja asing dari Bangladesh diserahkan minggu lalu.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, kementerian itu mengambil maklum mengenai kebimbangan rakyat tempatan yang masih lagi tidak mendapat tempat pekerjaan dan bersetuju bahawa peluang pekerjaan perlu dan diutamakan kepada mereka manakala warga tanpa warga negara turut diberikan perhatian.

Katanya, gesaan pihaknya mengenai ketidakwajaran membawa masuk pekerja asing sedangkan negara sedang berdepan lambakan warga asing disambut baik Kementerian Sumber Manusia.

“Dalam masa sama, dari sektor ekonomi, pihak kementerian memaklumkan bahawa negara mengalami kerugian berbilion ringgit akibat kekurangan tenaga kerja di dalam sektor perladangan. Hasil produktiviti negara terkesan akibat kekurangan tenaga kerja ini.

“Pihak kementerian juga memaklumkan bahawa terdapat 200,000 kekosongan pekerjaan di portal My Future Jobs yang masih lagi tidak diisi manakala tiada lagi sistem orang tengah atau ejen pekerja asing dalam proses membawa masuk pekerja asing terutamanya daripada Bangladesh,” katanya.

Katanya lagi, pihak kementerian memaklumkan penambahbaikan pelaksanaan proses Rekalibrasi juga akan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh bagi mendapatkan data berkenaan pekerja asing di Malaysia dengan lebih tepat.

“Pihak kementerian juga telah di peringkat akhir bagi mengemukakan tangga gaji minima yang baru bagi pekerja-pekerja Malaysia, manakala suatu Jawatankuasa Bersama juga akan diwujudkan di antara Kementerian Sumber Manusia bersama NGO-NGO bagi berkongsi dan bertukar pendapat dan maklumat.

“Bagi secara keseluruhannya, MHO dan Semboyan berasa besar hati di atas kesudian Kementerian Sumber Manusia khususnya menterinya sendiri yang sudi untuk mendengar dan menimbang gesaan-gesaan yang dikemukakan di dalam memorandum itu,” jelasnya.

Pada minggu lalu, MHO dan Semboyan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia agar menangguhkan sementara keputusan proses pengambilan pekerja asing dari Bangladesh sehingga kajian tepat dikeluarkan berhubung jumlah sebenar pekerja asing diperlukan di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya