Tiada kenaikan cukai jalan bas sekolah, kenderaan lain - Utusan Malaysia

Tiada kenaikan cukai jalan bas sekolah, kenderaan lain

PENGUSAHA bas sekolah perlu menanggung pelbagai kos tambahan untuk kembali beroperasi selepas sekolah dibuka baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk bas sekolah dan akan kekal pada kadar RM2 setahun seperti sejak 2008.

Memberitahu Mingguan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pada masa ini, selain bas sekolah, tiada kenaikan kadar bayaran LKM bagi mana-mana kelas kenderaan motor lain.

“Dakwaan ada kenaikan cukai jalan bagi bas-bas sekolah tidak benar,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, sebarang cadangan pengurangan kadar bayaran LKM di masa hadapan turut perlu dikaji secara terperinci dengan mengambil kira kesan kepada kutipan hasil kerajaan serta impaknya kepada keseluruhan ekosistem pendaftaran kenderaan motor di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, semakan semula kadar bayaran LKM dilaksanakan pada tahun 2008 yang antara lain melibatkan perkara-perkara seperti bayaran LKM bagi kenderaan motor pendaftaran milik persendirian (jenis saloon dan bukan saloon).

Katanya, ini termasuk milik individu dan syarikat yang menggunakan bahan bakar diesel atau diesel hijau telah disela­raskan dengan kadar bahan bakar petrol.

Selain itu, kata beliau, semakan turut melibatkan bayaran LKM bagi kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres, teksi, kereta sewa, bas persiaran dan bas catar ditetapkan pada kadar rata iaitu RM20 setahun.

“Bagi bas mini, bas sekolah dan bas henti-henti, kadar bayaran LKM adalah RM2 setahun,” katanya.

Berhubung kenaikan kos premium insurans bagi bas-bas sekolah seperti didakwa, Ka Siong berkata, ia adalah di luar skop Kementerian Pengangkutan, sebaliknya, kadar premium ditetapkan penyedia perkhidmatan insurans dengan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Begitu juga dengan gesaan pengusaha bas sekolah supaya kerajaan memantau dan mewujudkan garis panduan bagi setiap caj loading yang dikenakan kepada pemilik kenderaan.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kepada pengusaha bas sekolah yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 akibat penutupan sekolah.

Pada 9 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara mengeluh apabila terpaksa menyediakan kos tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kenderaan sebelum menyambung semula insurans dan cukai jalan yang didakwa meningkat sehingga 200 peratus mulai tahun ini.

Mereka mendakwa, perkara tersebut, belum lagi mengambil kira kerenah segelintir ibu bapa yang mendesak pengusaha bas mengurangkan bayaran bulanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN