Tiada jalan mati dalam politik Islam - Nik Abduh - Utusan Malaysia

Tiada jalan mati dalam politik Islam – Nik Abduh

pn
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebarang keputusan UMNO untuk menolak Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran kepada kerjasama parti itu dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau konsisten mencadangkan Pas untuk terus berusaha menjaga dan mengukuhkan MN sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat perpaduan.

Menjadikan usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) membina jalan dan mengatasi kesesakan lalu lintas sebagai analogi, Nik Mohamad Abduh berkata, beliau optimis penyelesaian kepada konflik itu bakal ditemukan.

“Demi sampai ke sesuatu destinasi, walaupun terhalang oleh kesesakan, kepadatan, kebingitan dan pelbagai halangan, pihak JKR pasti berusaha membina jalan-jalan susur, pintas dan bertingkat-tingkat.

“Lihatlah bandar-bandar besar di seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur. Tiada jalan mati. Kita mesti sampai ke destinasi impian. Begitulah sains politik Islam. Kejayaan politik Islam adalah bergantung kepada keupayaan kita memecah kebuntuan lama.

“Fiqh perpaduan harus diketengahkan sebagai tambah baik kepada maksud fiqh ikhtilaf. Kita perlukan pemimpin negara berjiwa kasih sayang yang luas dan damai seluas jiwa merdeka yang hanya sujud dan takut kepada Allah,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Muzakarah Majlis Syura Ulama (MSU) Pas baru-baru ini memutuskan MN akan terus dipertahankan di sebalik desas-desus kononnya gabungan ditubuhkan dua tahun lalu itu bakal berkubur, di samping terus memperkasakan PN.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu berkata, beliau sentiasa berdoa semoga harapan MSU untuk memperkasakan MN dan PN itu, sekali gus menyatukan kuasa politik umat Islam dimakbulkan.

“Kita umat yang biasa bertengkar dalam politik. Ia cerita lama yang kita terpaksa lalui dan terima. Ia sejarah perpecahan umat, tetapi ia tidak boleh menjadi acuan politik Islam.

“Perpecahan bukan ketandaan umat Islam yang berjaya. Perpecahan akan terus mengekalkan kemunduran politik Islam,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya