PETALING JAYA: Pelakon, Jun Lojong, mengakui beberapa kali meremang ketika menjalani penggambaran filem Polong di lokasi penjara lama Kota Jail, Johor Bahru.
Menurut Jun, watak Maria Hadi yang dibawanya itu memang diinspirasikan daripada kisah pembunuhan berprofil tinggi di Malaysia.
Katanya, berlakon di bilik banduan akhir berkenaan sangat menyeramkan dan meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh pelakon serta kru produksi.
“Memang meremang apabila berada di set penggambaran di Kota Jail. Kami masuk ke sel banduan akhir yang sebenar.
“Babak hukuman gantung pula dilakukan secara ‘mock-up’ di sebelah bangunan asal tempat banduan dihukum gantung. Tempat sebenar itu masih ada dan situasi tersebut memang membuatkan kami rasa seram,” katanya.
Jun berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Polong di 10 Star Cinema, Hextar World Empire City, di sini, semalam.
Berkongsi lanjut mengenai pengalaman berada di dalam sel penjara itu, Jun berkata, dia turut tersentuh apabila membaca luahan hati bekas banduan yang masih terpahat pada dinding sel.
“Rasa seram sejuk dan dalam masa sama sangat insaf kerana ada tulisan banduan yang masih kekal di situ. Antaranya tertulis, ‘Mak tunggu aku balik, aku tak mahu buat lagi’.
“Apabila membaca semua itu, saya membayangkan kehidupan mereka dalam penjara dan ia benar-benar menyentuh perasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Jun turut berterima kasih kepada pengarah, Zulkarnain Azhar, kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjayakan watak utama walaupun mengakui dirinya tidak sepopular pelakon lain.
“Watak ini sangat berat kerana banyak emosi yang perlu dipendam dan tidak boleh ditunjukkan sepenuhnya kepada penonton.
“Maria perlu kelihatan tenang dan gembira walaupun sebenarnya dia seorang banduan yang sedang bergelut dengan penyesalan, kesedihan serta kekacauan emosi terhadap apa yang berlaku kepada anak dan keluarganya.
“Saya berterima kasih kepada pengarah kerana berani memberikan saya watak ini walaupun dia tahu saya tidak popular seperti pelakon lain yang mungkin lebih mudah menjual filem,” katanya.
Filem Polong mengisahkan tentang Maria yang membela makhluk halus sebelum memilih untuk bertaubat pada penghujung hidupnya.
Naskhah arahan Zulkarnain Azhar itu diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. dengan kerjasama pengedaran 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. serta pemasaran Primeworks Studios.
Selain Jun, filem itu turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa. Polong bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Mei ini. -UTUSAN










