BANGKOK: Keadaan kesihatan Puteri Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol yang dirawat di hospital sejak lebih tiga tahun lalu dilaporkan semakin merosot akibat beberapa jangkitan pada organ dalaman, menurut kenyataan Istana Diraja Thailand pada Khamis.
Puteri berusia 47 tahun itu, yang juga anak sulung kepada Raja Maha Vajiralongkorn, dimasukkan ke hospital pada Disember 2022 selepas rebah ketika sesi latihan anjing tentera akibat masalah jantung dan jangkitan lain. Beliau dilaporkan berada dalam keadaan koma sejak itu.
Menurut kenyataan Biro Rumah Tangga Diraja, doktor mengesan jangkitan pada bahagian perut akibat radang usus besar pada April lalu, yang menyebabkan tekanan darahnya menurun serta degupan jantung menjadi tidak teratur.
Puteri Bajrakitiyabha turut mengalami tanda vital yang tidak stabil, pembekuan darah abnormal serta memerlukan bantuan peralatan perubatan dan ubat-ubatan bagi menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggangnya.
“Keadaannya terus merosot,” menurut kenyataan itu sambil memaklumkan jangkitan tersebut kini sukar dikawal dan telah menjejaskan organ lain.
Istana memaklumkan pasukan perubatan akan terus memantau keadaan beliau secara rapi dan memberikan rawatan lanjut.
Dikenali di Thailand sebagai ‘Puteri Bha’, beliau merupakan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama Raja Vajiralongkorn.
Puteri itu pernah memegang beberapa jawatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta aktif memperjuangkan layanan lebih baik terhadap wanita di penjara.
Beliau dilihat mempunyai hubungan rapat dengan ayahandanya dan pernah dilantik memegang jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadi diraja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.-AFP










