PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) menafikan terlibat dalam keputusan Norway dan syarikat pertahanannya, Kongsberg Defence & Aerospace susulan pembatalan penghantaran sistem peluru berpandu anti kapal (NSM) kepada Malaysia.
Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, David H. Gamble Jr. berkata, AS menyokong perolehan keupayaan peluru berpandu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menangani ancaman serantau dan melindungi kedaulatannya.
Malah, beliau berkata, AS memudahkan integrasi komponen panduan diperlukan bagi NSM kepada Kongsberg pada 2024 untuk memastikan sistem itu dapat dihantar kepada Malaysia.
“AS kekal komited terhadap hubungan pertahanan dan keselamatan yang kukuh dengan Malaysia serta mempertingkatkannya menerusi memorandum persefahaman kerjasama pertahanan, 14 latihan dua hala dan pelbagai hala secara berkala, pembangunan profesional, dan bantuan keselamatan maritim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan permit eksport bagi NSM yang ditempah Malaysia daripada Kongsberg menerusi kontrak pada 2018 untuk melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS), dengan alasan eksport teknologi pertahanannya hanya akan dihadkan kepada ‘sekutu dan rakan terdekat’.
Susulan pembatalan itu, media mendakwa komponen terhad buatan AS dalam NSM Norway khususnya giroskop panduan canggih mungkin punca kawalan eksport AS, sekali gus membolehkan Washington secara tidak langsung menghalang urus niaga itu.
NSM itu dijadual dihantar kepada Malaysia pada awal Mac lalu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, Malaysia menuntut pampasan lebih RM1 bilion daripada Kongsberg melibatkan kos langsung dan tidak langsung susulan pembatalan berkenaan.
Katanya, kerajaan telah membuat bayaran sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan nilai perolehan berjumlah RM634 juta.
Beliau berkata, kos tidak langsung itu termasuk penanggalan sistem pelancar peluru berpandu yang telah dipasang pada kapal tentera laut serta integrasi sistem pengganti yang dibekalkan vendor lain.
Keputusan Norway membatalkan lesen eksport itu turut dikecam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak itu, yang merupakan instrumen serius tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya, sejak 2018.-UTUSAN










