Tiada fakta disembunyikan - Azam Baki - Utusan Malaysia

Tiada fakta disembunyikan – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersedia sekiranya kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM.

Pendirian itu dilakukan selepas beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu.

Malah katanya, sekiranya kes itu dirujuk, beliau juga bersedia menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.

Terdahulu, Azam ditemui Utusan Malaysia selepas tinjauan mengejut beliau di kolam takungan banjir Sungai Jinjang di sini hari ini.

Turut hadir sama iaitu, Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Md Nasir Md Noh.

Dalam perkembangan berasingan, Utusan Malaysia difahamkan, satu laporan polis telah dibuat SPRM terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam semalam berhubung artikel pendedahan beliau yang diterbitkan oleh Independent News Services (INS) bertajuk “Perniagaan di kalangan kepimpinan SPRM : Sejauh mana ia berlaku?.

Laporan polis itu dibuat susulan kenyataan-kenyataan Lalitha di dalam artikel berkenaan yang memberikan implikasi bahawa pegawai penguatkuasa kanan yang terlibat dalam perniagaan akan sentiasa menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam rasuah selain mempersoalkan hak pegawai penguatkuasa memiliki saham dan menjadi pengarah di sesebuah syarikat.

Malah, pendedahan yang dibuat oleh Lalitha juga didakwa palsu dan tidak berasas selain berniat jahat tanpa mengambil sebarang langkah untuk membuat verifikasi dan terus membuat kesimpulannya sendiri dengan tujuan khusus untuk mencemarkan reputasi dan nama baik pegawai-pegawai penguatkuasa dan juga institusi penguatkuasaan di negara ini.

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap Lalitha mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seskyen 499 Kanun Keseksaan kerana kenyataan beliau dibuat dengan tujuan mengaibkan, mencemarkan dan memburukkan nama baik semua penguatkuasa seterusnya menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap integriti sesebuah institusi penguatkuasaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai perkara itu.

Jelas beliau, laporan berkenaan bagaimanapun telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah, Dang Wangi bagi tindakan lanjut memandangkan isu sama dengan laporan baru-baru ini.

“Ada terima laporan dan dirujuk ke Balai Dang Wangi,” katanya ringkas.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN