KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara mengesahkan status selaku juara Kumpulan B acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mudah membenam Myanmar 3-0 pada aksi terakhir di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan kempen cemerlang Malaysia di peringkat kumpulan, selain menyekat kebangkitan skuad kendalian Kyaw Min Soe sekaligus membalas dendam atas kekalahan dalam acara regu sebelum ini.
Malaysia yang lebih awal mengesahkan slot ke suku akhir tampil dengan aksi cukup meyakinkan apabila regu pertama yang dibarisi tekong, Zulkifli Abd Razak bersama Muhammad Afifuddin Mohd Razali serta Aidil Aiman Azwawi tidak berdepan masalah menewaskan lawan 15-7, 15-9.
Rentak kemenangan itu diteruskan regu kedua menerusi gandingan Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias yang mempamerkan aksi mantap untuk menundukkan Myanmar 15-11, 15-6.
Regu ketiga negara pula tampil lebih garang apabila Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd. Nordin serta Amirul Zazwan Amir serta kemasukan Hafizul Hayazi Adnan di set kedua langsung tidak memberi ruang kepada lawan untuk bangkit sebelum mencatat kemenangan mudah 15-13, 15-5.
Kejayaan menyapu bersih ketiga-tiga regu membuktikan kekuatan sebenar skuad negara dalam memburu slot ke final acara berpasukan yang menjadi acara utama Piala Dunia kali ini.
Pada aksi suku akhir esok, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun dijadual berdepan Jepun dalam misi meneruskan kemaraan memburu kejuaraan. – UTUSAN.










