Syarikat jual barangan perkahwinan sumbang wang bantuan, bot penyelamat - Utusan Malaysia

Syarikat jual barangan perkahwinan sumbang wang bantuan, bot penyelamat

LOKE Siew Fook menerima sumbangan daripada Ben Chin pada majlis yang diadakan di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prihatin dengan nasib mangsa banjir, sebuah syarikat menjual barangan perkahwinan, Thank Q Malay Wedding Nilai 3 dekat sini menyumbangkan bantuan sebanyak RM33,333 dan tiga buah bot penyelamat bagi persediaan sekiranya berlaku banjir pada masa akan datang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah,  Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai wakil rakyat sebuah kawasan yang teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini, beliau amat berterima kasih atas sumbangan tersebut.

“Sebanyak RM33,333 bantuan yang disumbangkan  kepada tiga buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah iaitu Kampung Chennah, Kampung Titi dan Kampung Petaling. Syarikat ini juga turut menyumbangkan tiga buah bot penyelamat bagi kegunaan tiga buah kampung berkenaan. 

“Selepas kejadian banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu, saya berasakan perlu ada persediaan banjir bagi memastikan tahap keselamatan penduduk terjamin sekiranya berlaku banjir besar. 

“Wang bantuan dan bot penyelamat berkenaan akan digunakan sebaiknya serta membeli peralatan seperti jaket keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Nilai 3, Nilai di sini hari ini.

Menurutnya, tiga buah kampung yang teruk terjejas banjir berkenaan akan menjadi projek perintis bagi membolehkan persediaan ketika banjir dapat dilakukan. 

“Selain memastikan bot penyelamat dan jaket keselamatan dapat disediakan bagi kawasan yang berpotensi banjir, pihak kami juga berhasrat untuk melatih ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengendalikan tugas menyelamat sekiranya berlaku bencana banjir. 

“Saya juga dimaklumkan, ketika berlaku banjir baru-baru ini, contohnya di Kampung Chennah tiada persediaan termasuk balai polis juga tidak mempunyai kelengkapan. Bencana banjir pada kali ini tiada kehilangan nyawa namun perlu diambil sebagai pengajaran pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Thank Q Malay Wedding, Ben Chin berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.

“Diharap bantuan ini dapat meringankan beban kampung yang terkesan dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN