Syarikat abai keselamatan pekerja didenda RM20,000 - Utusan Malaysia

Syarikat abai keselamatan pekerja didenda RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat pembuatan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kecederaan kepada pekerjanya, Mac tahun lalu.

Syarikat MSBB Engineering Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah urusannya, Liew Chee Weng, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai majikan didakwa telah gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja pengendalian jentera surface planer sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada pekerja tempatan berusia 19 tahun.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di MSBB Engineering Sdn. Bhd., Blok C, Wood Pattern Area, Estet Perindustrian Pengkalan 2, Pusing dalam daerah Kinta kira-kira pukul 8.40 pagi, 19 Mac 2021.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Mohd. Shazami Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Hakim Norashima menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada tertuduh dan syarikat berkenaan membayar denda tersebut.

Dalam kejadian pada 19 Mac 2021, mangsa mendapat kecederaan akibat terkena mata ketam (cutter head) yang sedang berputar ketika menjalankan kerja-kerja mengetam kayu menggunakan mesin surface planer.

Mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan dan disahkan putus sepenuhnya hujung ruas jari telunjuk selain tisu terpotong pada hujung jari tengah di tangan kiri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN