SWCorp terus agenda ‘Berani Tegur’ sebagai azam 2022 - Utusan Malaysia

SWCorp terus agenda ‘Berani Tegur’ sebagai azam 2022

RIZALMAN Mokhtar (depan tengah) membaca ikrar sempena pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Cyberjaya semalam. – Foto ihsan SWCorp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp.) akan terus mendidik masyarakat agar kekal menjaga kebersihan alam sekitar dan persekitaran.

Iltizam itu disuarakan oleh Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di ibu pejabat agensi tersebut di Cyberjaya dekat sini semalam.

“Apabila semua anggota masyarakat mempunyai sikap ‘Berani Tegur’, maka tiada lagi yang berani buang sampah merata-rata dan seterusnya kebersihan sekitar terpelihara,” katanya.

Beliau merujuk kempen ‘Berani Tegur’ yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2019 untuk dijadikan agenda SWCorp. mendidik rakyat negara ini.

Malahan, agensi yang ditubuhkan pada 2008 itu turut disarankan untuk menyediakan bentuk penghargaan tertentu kepada mereka yang menegur individu membuang sampah merata-rata.

Ini termasuk mereka yang berjaya merakam aksi pelaku dan memuat naik dalam media sosial untuk dikongsi bersama sebagai bentuk pengajaran kepada individu bersikap degil tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Rizalman menambah, pendidikan secara berterusan amat perlu supaya setiap anggota masyarakat berasa takut atau malu membuang sampah bukan di tempatnya.

“Ini selaras dengan misi pada tahun ini yang akan membawa konsep Swcorp. Bersamamu untuk bergerak seiring dalam menjayakan visi telah ditetapkan oleh kementerian,” jelas beliau.

Bagi tahun 2022 ujarnya, agensi tersebut akan memberi fokus kepada merealisasi program berkaitan isu ekonomi kitaran, matlamat pembangunan mampan dan program bandar pintar.

Usaha itu sejajar fungsi SWCorp. di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang sudah diratifikasi enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, agensi itu melakar sejarah akhir tahun lalu apabila turut terlibat membantu kerja pembersihan di negeri belum memperakui akta tersebut ekoran bencana banjir besar.

Langkah khas itu atas inisiatif menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi mempercepatkan pelupusan sisa buangan kediaman penduduk terjejas agar kembali normal.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN