PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Azizulhasni Awang berpotensi disenaraikan semula ke dalam program elit Road To Gold (RTG) sekiranya berjaya memenuhi syarat prestasi yang ditetapkan Jawatankuasa RTG.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang kepada jaguh yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu untuk kembali menyertai program berkenaan, namun perlu melepasi kriteria utama yang ditetapkan.
Menurutnya, syarat jelas RTG menetapkan seseorang atlet perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia sebelum layak dipertimbangkan secara automatik untuk kembali berada di bawah program tersebut.
“Untuk program RTG, kita mengharapkan prestasi Datuk Azizulhasni yang semakin lama semakin baik membolehkannya diterima masuk semula ke dalam program RTG.
“Kami sentiasa terbuka untuk beliau kembali semula ke RTG, namun seperti yang semua tahu, kriterianya jelas iaitu apabila atlet perlu mencapai kedudukan lapan terbaik dunia, mereka akan diterima secara automatik,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Ketika ini, Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 berada di ranking ke-23 dunia, namun prestasi semasanya memperlihatkan peningkatan positif selepas beberapa aksi kompetitif musim ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu baru-baru ini mencuri tumpuan apabila merangkul dua pingat emas acara keirin pada Siri Trek Piala Dunia, sekali gus memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia.
Azizulhasni turut membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila memenangi pingat gangsa dalam acara pecut individu pada kejohanan sama yang berlangsung di Nilai dan Perth, Australia.
Perkembangan memberangsangkan itu memberi isyarat jelas bahawa bekas juara dunia keirin tersebut masih memiliki kemampuan untuk kembali berada dalam kelompok elit dunia, sekali gus menghidupkan semula peluang memburu tiket ke program RTG.
Sekiranya momentum cemerlang itu diteruskan dan ranking dunia terus meningkat, peluang Azizulhasni untuk kembali menyertai RTG dilihat cerah dan ia menguatkan semula harapan negara terhadap pengalaman luas dimilikinya menjelang temasya Olimpik 2028 kelak. – UTUSAN









