PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mahu mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat.
Menurut kenyataan SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.
“Di samping itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.
“SC akan berhubung dengan pihak terbabit, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Azam tampil menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kepada Panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Bagaimanapun, saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau (Nasir) kemudiannya.
“Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya.










