SPRM tidak berniat perlekeh profesionalisme pengamal perubatan

SPRM tidak berniat perlekeh profesionalisme pengamal perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan susulan video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang dimuat naik bertajuk ‘MC boleh menjadi rasuah’ pada 4 Januari lalu.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, sebagai makluman, video yang diterbitkan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah. 

Kata kenyataan itu, dalam konteks video ini, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam kepada SPRM.

“SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak  Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung video ini.

“Sehubungan dengan ini, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN