SPRM teliti SOP khusus pantau isu salah laku pegawainya - Utusan Malaysia

SPRM teliti SOP khusus pantau isu salah laku pegawainya

ABU Zahar Ujang bercakap dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti satu prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi memastikan isu penyelewengan dan salah laku membabitkan warganya tidak berulang pada masa depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pada sidang akhbar khas, hari ini yang memberitahu, SOP itu adalah antara 31 cadangan penambahbaikan tatacara kerja yang dikemukakan Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.

Beliau berkata, antara cadangan dikemukakan termasuk berkaitan pengendalian barang kes, pengendalian dokumen penting dan pemeriksaan prosedur siasatan serta keperluan logistik.

“JKA akan bertanggungjawab mengenal pasti kelemahan dan tatacara kerja selain memberi cadangan dan syor yang difikirkan sesuai bagi keperluan SPRM.

“Selain itu, JKA juga bertanggungjawab memantau pengendalian SPRM berkaitan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawainya,” katanya.

Sementara itu Abu Zahar berkata, SPRM juga akan melaksanakan tindakan paling maksimum bagi memastikan kawalan dalaman terhadap pegawai seperti mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM (2021-2025) dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM.

Menurutnya, SPRM juga menubuhkan satu cawangan khas sebagai langkah pencegahan untuk mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai disyaki terbabit jenayah.

“SPRM memberi jaminan tidak akan berdiam diri mengenai isu seumpama ini dan banyak perkara dilakukan termasuk memantau hidup mewah pegawai, memantau ketulenan pengisytiharan harta, ujian dadah dan ketum.

“Ia juga termasuk memantau kes membabitkan tahap hutang yang serius dan pegawai bermasalah yang dilaporkan Pengarah Bahagian atau negeri,” katanya.

Katanya, LPPR juga akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberi pandangan dalam membentuk sebuah suruhanjaya berimej serta berintegriti tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN