Proton sasar sebulan jualan 2,000 model X50

Proton sasar sebulan jualan 2,000 model X50

ZHANG Qiang (tiga dari kiri) dan Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Ainol Azmil Abu Bakar (tiga dari kanan) bergambar pada Majlis Pra Pelancaran All New Proton X50 di Setia City Mall. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd. (Proton) menyasarkan jualan lebih 2,000 unit Proton X50 terbaharunya sebulan selepas dilancarkan secara rasmi kelak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, ia bersandarkan faktor kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B itu yang terlaris selama lima tahun berturut-turut di negara ini.

Katanya, piawaian Proton X50 itu yang dipertingkatkan dengan pelbagai ciri baharu termasuk reka bentuk dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap dua.

“Kami kini mula menerima tempahan pelanggan dengan sasaran sehingga 10,000 unit menjelang pelancaran rasminya pada bulan ini.

“Selain itu, kami optimis menyasarkan jualan lebih 2,000 unit sebulan dengan harga yang bakal diumumkan nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran Proton X50 itu di Setia City Mall di sini, semalam.

Menurut Zhang, nilai ciri baharu tambahan bagi SUV itu keseluruhannya lebih daripada RM10,000.

“Ia turut menampilkan sistem infotainment generasi akan datang termasuk pengecaman suara Bahasa Melayu yang pertama di dunia.

“Kami menawarkan tiga varian dinamik iaitu Executive, Premium dan Flagship yang direka bagi memenuhi keperluan gaya hidup dan mengukuhkan komitmen Proton terhadap mobiliti pintar,” ujarnya.

Katanya, pelanggan yang membuat tempahan sehingga tarikh pelancaran rasmi  akan menikmati tawaran eksklusif termasuk rebat tunai RM1,000.

“Kami turut memulakan Jelajah Gegar Kagum di seluruh negara bagi memperkenalkan Proton X50 baharu itu secara lebih dekat kepada pelanggan.

“SUV itu mentakrifkan semula nilai menerusi gaya reka bentuknya, kuasa  prestasi, keselamatan dan keselesaan menyeluruh,” katanya.

Sejak ia diperkenalkan pada 2020, Proton X50 mencatatkan jualan lebih 140,000 unit  dan menjadi model pilihan nombor satu dalam kelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×