Setiap negeri ada kuota balak boleh ditebang - Takiyuddin - Utusan Malaysia

Setiap negeri ada kuota balak boleh ditebang – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan bercakap pada sidang akhbar program SAVE 3.0 di Wisma Sumber Asli, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua negeri di negara ini tidak boleh melakukan penebangan pokok balak melebihi kuota sudah ditetapkan menerusi keputusan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN).

Justeru, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meluahkan rasa kehairanan apabila kerajaan Kelantan mendakwa tiada kuasa bagi menentukan kuota tersebut.

“Saya pernah berada dalam Exco Kelantan, jadi saya tahu mengenai perkara ini,” jelasnya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini bagi pengumuman dua program baharu.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengatakan bahawa kerajaan negeri tiada kuasa dan ia dilakukan menurut Akta Perhutanan Negara 1984.

Ia susulan bencana banjir yang sering berlaku di negeri itu dan didakwa berpunca akibat daripada kegiatan pembalakan di hutan tidak dikawal langsung oleh pihak kerajaan Kelantan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, penetapan kuota diputuskan MTN yang dipengerusikan Perdana Menteri dengan ahlinya turut terdiri dari kalangan menteri besar dan ketua menteri.

“Saya tidak pasti kenyataannya (Mohd. Amar) namun saya akan cuba menghubungi beliau untuk semak dan tanya sendiri apakah maksud sebenar hendak disampaikan itu. Secara dasarnya, setiap negeri memiliki had kuota Catuan Tebangan Tahunan yang berdasarkan kriteria dan indikator bagi Pensijilan Pengurusan Hutan Malaysia sejak 2012.

“Sehubungan itu pihak berkuasa perhutanan negeri tidak boleh membenarkan proses penebangan kayu balak yang melebihi bilangan ditetapkan oleh MTN untuk setiap tahun. Pengawalan jumlah tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan yang komited kepada sasaran Persidangan Kemuncak Bumi berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil pada 2017.

Malaysia jelas Takiyuddin, berpendirian teguh dalam menyokong agenda Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi memastikan 50 peratus kawasan daratan negara kekal dilitupi hutan hijau dan ketika ini terdapat sejumlah 55.3 peratus kawasan perhutanan di seluruh Malaysia sedangkan agenda global itu menyasarkan ia perlu dicapai menjelang 2040.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN