Segera keluarkan SOP baharu umrah - Utusan Malaysia

Segera keluarkan SOP baharu umrah

KERATAN laporan Utusan Malaysia baru-barui ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi pengendali umrah meminta kerajaan segera mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk diikuti kira-kira 15,000 bakal jemaah yang mempunyai kira-kira 10 hari sebelum menunaikan ibadah itu.

SOP baharu yang mungkin lebih ketat perlu diumumkan segera selain perlu konsisten sekali gus mewujudkan situasi menang-menang bagi agensi, bakal jemaah dan kerajaan.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, garis panduan itu perlu dilihat dari sudut kepentingan Islam dalam mengendalikan dakwah kepada jemaah yang mahu menunaikan umrah.

Menurut beliau, garis panduan tersebut juga perlu melihat dari segi kerugian ditanggung jemaah dan agensi pelancongan berkaitan umrah berikutan SOP yang pelbagai.

“Sebelum ini jemaah umrah yang pulang perlu menjalani kuarantin di pusat disediakan kerajaan yang mencecah sehingga RM150 sehari, tetapi apabila sudah penuh boleh pula melakukan kurantin di rumah.

“Sebelum ini juga kuarantin di rumah perlu memakai gelang peranti pengesanan digital dan selepas itu tak perlu pula, jadi seolah-olah tak ada konsisten dalam menggariskan SOP,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan, umat Islam di negara ini dibenarkan kembali mengerjakan umrah bermula 8 Februari ini selepas ditangguhkan ekoran ramai jemaah positif Covid-19 selepas pulang ke tanah air.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP baharu bagi semua jemaah bagaimanapun belum diputuskan dan ditetapkan bersama agensi pengurusan umrah.

Menurut Md. Daud, pengumuman segera garis panduan dan SOP baharu itu bagi membolehkan pengendali umrah membuat persediaan dan persiapan membawa jemaah menunaikan ibadat tersebut.

“Berbaki kira-kira 10 hari, kami boleh hubungi semula jemaah yang membuat tempahan pada 8 Januari ke atas untuk buat pengesahan sama ada masih mahu pergi menunaikan ibadah umrah atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya akur dengan apa sahaja SOP dikeluarkan kerajaan.

Katanya, kebenaran mengerjakan umrah sudah memberi kelegaan kepada agensi pelancongan berkaitan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×