Segera adu jika betul harga ikan memang naik tinggi - Utusan Malaysia

Segera adu jika betul harga ikan memang naik tinggi

ALEXANDER Nanta Linggi melancarkan gimik pelancaran CyCORE pada Majlis Aspirasi Tahun Baru 2022 KPDNHEP di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereka yang terkesan teruk akibat kenaikan mendadak harga ikan diminta membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Bagaimanapun menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluahkan kehairanan kerana setakat ini belum ada lagi sebarang laporan rasmi yang diterima pihak kementerian tersebut.

“Memang ada berita harga ikan naik dilaporkan dalam media tetapi sehingga kini tiada pula aduan diaju terus kepada pihak kami walaupun kementerian ada banyak saluran,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan dan amanat Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 di kementeriannya itu di sini hari ini yang turut dihadiri oleh timbalannya, Datuk Rosol Wahid.

Isu kenaikan harga ikan tular diperkatakan warganet dalam media sosial susulan kekurangan bekalan di pasaran yang berpunca tiada banyak aktiviti penangkapan ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun, tinjauan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaporkan sebahagian besar spesies tempatan mencatatkan trend penurunan harga runcit sejak akhir bulan lalu.

Ia meliputi ketam dan sotong namun ada juga yang merekodkan kenaikan harga sedikit sahaja antaranya ikan pelaling, selar kuning, selar biasa, siakap, keli dan udang putih besar.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, peningkatan harga ikan sebenarnya perkara normal apabila berlaku permintaan tinggi pengguna di sebalik penawaran bekalan pula berkurangan.

“Isu bekalan terletak di bawah kementerian lain, namun apabila memasuki pasaran, pihak penguat kuasa saya akan memantau jika berlaku unsur pencatutan oleh peniaga,” katanya.

Justeru, beliau berharap sesiapa ada maklumat kenaikan terlalu tidak munasabah agar segera tampil membuat aduan secara rasmi dan bukan ditularkan melalui wadah media sosial.

Malah beliau memberi jaminan pihaknya sedia menyiasat dan mendakwa peniaga sengaja mencatut harga seperti dalam kes masakan ikan siakap di Langkawi, Kedah akhir tahun lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang membuat aduan kepada kementerian kerana maklumat diberikan itu berjaya memastikan peniaga dikenakan tindakan.

Anggota penguat kuasa kementerian itu ujarnya, turut ‘turun padang’ tetapi masalah timbul apabila peniaga yang licik akan menukar harga rendah apabila menyedari mereka dipantau.

Sehubungan itu jelas Alexander, kerjasama masyarakat sebagai ejen mata dan telinga adalah lebih berkesan dalam penyaluran maklumat yang tepat terutama lokasi dan masa kejadian.

“Semua saluran aduan kementerian memang sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa untuk memudahkan orang ramai tampil buat laporan jika betul ada kes pencatutan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN