PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menghantar usul tergempar hari ini kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Usul itu dipaparkan menerusi akaun Twitter miliknya, dengan harapan agar usul itu dapat dibahaskan pada Sidang Khas Dewan Rakyat esok.
“Demi negara dan rakyat saya harap usul tergempar ini akan diterima untuk dibahas dalam sidang Parlimen esok,” katanya di Twitter hari ini.
Dalam usul tersebut, Salahuddin menggariskan tiga perkara mengapa usul itu perlu disegerakan.
“Perkara ini perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan dengan lebih lanjut terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau seperti yang dilaporkan oleh akhbar rasmi.
“Ini adalah perkara berkenan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah dan segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini.
“Perkara ini adalah perkara tertentu berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau,” menurut surat itu.
Justeru, beliau percaya bahawa isu tersebut adalah mengenai kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2) yang perlu dibahaskan dalam dewan yang mulia ini pada sidang khas Parlimen esok. – UTUSAN ONLINE