Iran tolak sertai Perjanjian Abraham, normalisasi hubungan dengan Israel

Iran tolak sertai Perjanjian Abraham, normalisasi hubungan dengan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menolak kemungkinan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, menyifatkan cadangan itu pada Sabtu sebagai ‘angan-angan kosong’.

Kenyataan tersebut dikeluarkan hampir dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan Republik Islam itu mungkin boleh menormalkan hubungan dengan negara Yahudi selepas berdekad-dekad menyeru penghapusannya.

“Perjanjian Abraham sangat luar biasa. Mungkin Iran juga boleh turut serta. Kami berharap dapat berdamai dengan Iran.

“Saya percaya mereka akan terbuka terhadapnya. Malah, mereka boleh menjadi salah satu pihak,” kata Trump dalam sidang akhbar di Rumah Putih bulan lalu bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, merujuk kepada perjanjian normalisasi yang beliau usahakan pada tahun 2020 antara Israel dan empat negara Arab.

Iran memuji perjanjian tersebut namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Iran tidak akan mengiktiraf Israel.

“Iran tidak akan pernah mengiktiraf rejim penjajah yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai dan membunuh kanak-kanak,” kata Araghchi kepada televisyen negara Iran.

Pada hari yang sama, Araghchi berkata, Teheran bersedia mempertimbangkan untuk menyambung semula rundingan dengan AS berhubung program nuklear.

“Jika kami menerima cadangan yang munasabah, seimbang dan adil daripada pihak AS untuk berunding, kami pasti akan menelitinya,” katanya kepada televisyen negara.

Namun, Araghchi menegaskan Iran tidak akan melepaskan hak untuk memperkayakan uranium, tetapi bersedia mengambil langkah-langkah membina keyakinan berkaitan sifat aman program nuklearnya.

Beliau turut mendedahkan Iran menerima mesej yang disampaikan melalui Russiayang menegaskan Israel tidak mahu mencetuskan konfrontasi baharu dengan negaranya.

“Nampaknya, tiga atau empat hari lalu, telah berlaku panggilan telefon antara Netanyahu dan Presiden Russia, Vladimir Putin.

“Netanyahu menegaskan beliau tidak berniat untuk memulakan semula perang dengan Iran,” tambah Araghchi, sambil menyatakan mesej itu disampaikan kepada duta Iran di Russia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN