BEIRUT: Tentera Israel pada Sabtu melancarkan serangan udara ke atas enam tapak jentera berat di sepanjang jalan Al-Msayleh di selatan Lubnan, memusnahkan lebih daripada 300 kenderaan, menurut laporan media tempatan.
Agensi berita rasmi NNA, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan melaporkan, seorang warga Syria terbunuh dalam serangan itu, manakala seorang lagi warga Syria dan enam rakyat Lubnan, termasuk dua wanita, cedera.
Serangan tersebut memusnahkan lebih 300 kenderaan, termasuk jentolak dan penggali, dengan kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta dolar.
Kemudahan di kawasan itu, termasuk bangunan, khemah dan banyak kenderaan yang diparkir berhampiran, turut musnah sama sekali.
“Tapak pameran yang musnah sepenuhnya itu dianggap antara lokasi pameran jentera berat terbesar dan paling terkenal di Lubnan,” kata agensi berkenaan.
Ia menambah bahawa serangan udara itu menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi api, dan jalan Al-Msayleh ditutup akibat kerosakan yang teruk.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan dan memusnahkan infrastruktur Hezbollah di kawasan tersebut, di mana peralatan kejuruteraan didakwa digunakan untuk membina semula prasarana kumpulan itu.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengecam serangan Israel itu sebagai tindakan pencerobohan yang jelas.
“Keseriusan serangan ini terletak pada hakikat ia berlaku selepas perjanjian gencatan senjata di Gaza,” kata Aoun, sambil memberi amaran terhadap kemungkinan cubaan Israel untuk memindahkan konflik ke Lubnan.
Sementara itu, dron Israel dilaporkan berlegar di ruang udara ibu negara Lubnan, Beirut, serta kawasan pinggir selatan sejak awal pagi Sabtu, menurut NNA.
Agensi berita itu turut melaporkan, sebuah dron Israel mengebom sebuah kereta berhampiran sekolah di kejiranan Al-Tabbaleh di bandar Qalaouiyeh, mengorbankan seorang individu.
Gencatan senjata dicapai pada November 2024 selepas kitaran serangan rentas sempadan selama setahun antara Hezbollah dan Israel yang bermula pada Oktober 2023.
Konflik itu meningkat menjadi serangan besar-besaran oleh Israel menjelang September 2024, menyebabkan lebih 4,000 orang terbunuh dan sekitar 17,000 cedera.
Di bawah syarat perjanjian gencatan senjata tersebut, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan menjelang Januari.
Namun setakat ini, ia hanya menarik sebahagian tenteranya dan masih mengekalkan kehadiran ketenteraan di lima pos sempadan.










