Sabah tiada isu letak syarat pelik beli minyak paket - Utusan Malaysia

Sabah tiada isu letak syarat pelik beli minyak paket

SHAHELMEY Yahya ditemui selepas pelancaran sistem ulang siar di Pasar Besar, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Belum ada sebarang laporan peniaga mengenakan syarat pelik bagi pembelian minyak masak paket di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan pengguna dikehendaki membeli barangan lain seperti gula jika hendak membeli minyak masak bersubsidi di dalam paket.

“Namun, pembelian minyak masak memang dihadkan kepada dua paket sahaja bagi setiap pengguna,” katanya semasa sidang akhar selepas pelancaran sistem ulang siar dan lawatan di Pasar Besar hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Shahelmey berkata, dari segi bekalan pula, memang terdapat kekurangan bekalan minyak paket namun, ia bukan pada tahap kritikal.

“Mungkin dalam masa sehari atau dua hari sahaja bekalan tiada, selepas itu bekalan akan datang.

“Namun, kita berharap orang yang membeli minyak bersubsidi ini untuk kegunaan sendiri kerana saya difahamkan ada peniaga kecil menggunakan minyak ini untuk perniagaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kementerian itu menerusi pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau bekalan minyak bersubsidi ini di pasaran.

Mengenai bekalan bawang merah di pasaran, tiada laporan diterima mengenai kekurangan bekalan bawang merah diterima setakat ini.

Walau bagaimanapun, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini, terdapat peniaga di Kelantan mewajibkan pengguna membeli sekilogram gula jika hendak membeli sepaket minyak masak.

Susulan itu, Alexander menyatakan, peniaga atau pengilang boleh diambil tindakan jika didapati meletakkan syarat ‘pelik’ dalam sebarang pembelian minyak masak paket seperti dilaporkan di Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN