Rombakan Kabinet: Takkan saya nak terlepas jadi menteri sekali lagi? - Utusan Malaysia

Rombakan Kabinet: Takkan saya nak terlepas jadi menteri sekali lagi?

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet adalah tidak perlu, sebaliknya peluang harus diberikan kepada pemimpin di bawah pentadbiran Perdana Menteri hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia juga bertujuan menjaga kestabilan politik negara sekali gus masalah rakyat juga akan dapat diselesaikan dengan baik.

“Pada saya, memang tidak perlu pun ada rombakan Kabinet, ada sedikit sebanyak kelemahan menteri-menteri, itu biasalah boleh diatasi. Tidak perlu sampai nak buat rombakan.

“Kalau ada rombakan, mungkin saya ada peluang, tetapi bagaimanapun itu tidak penting, yang penting adalah rakyat dan negara kita yang mana kita harapkan dapat dipimpin oleh Perdana Menteri dan Kabinet yang ada pada hari ini.

“Kalau dari segi kepentingan peribadi, saya sokong, saya dah terlepas dua kali, takkan saya nak terlepas sekali lagi? Tapi saya melawak sahaja, jangan ambil serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.

Bagaimanapun sumber memberitahu, rombakan berkenaan masih dalam proses tawar-menawar untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tajuddin berkata, kestabilan politik pada waktu ini amat penting bagi meningkatkan semula ekonomi negara yang sebelum ini lumpuh disebabkan pandemik Covid-19.

“Kita tak nak melihat rombakan Kabinet itu akan membawa kepada keadaan politik yang menggugat kestabilan politik kerajaan yang telah dapat diwujudkan daripada kepimpinan Perdana Menteri.

“Selaku Perdana Menteri hampir lima bulan dalam tempoh singkat, beliau dapat mewujudkan suasana politik yang dikatakan stabil. Jadi kestabilan politik ini bukan sahaja penting, malah, kerajaan boleh tumpukan kepada kebajikan rakyat yang terjejas dan terkesan sebab wabak Covid-19 dan banjir ini.

“Namun, dalam masa yang sama, ia penting untuk Perdana Menteri dan kerajaan mengatur strategi langkah dan tindakan untuk kebangkitan ekonomi dan sosial di negara kita,” katanya.

Jelas beliau, meskipun terdapat pihak yang kurang senang dengan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kini, namun beliau mengharapkan sokongan orang ramai terhadap kepimpinan sehingga habis penggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya