PETALING JAYA: Anggaran kos sebanyak RM300 bilion diperlukan sebagai penyelesaian jangka panjang untuk berdepan cabaran perubahan iklim serta fenomena banjir di seluruh negara.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah tersebut diberikan untuk kerja pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun sehingga tahun 2100.
Katanya, kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban dan pencegahan hakisan pantai.
“Kerajaan percaya melalui cadangan penyelesaian segera, jangka pendek dan jangka panjang, impak fenomena banjir dari segi kemusnahan harta benda mahupun kehilangan nyawa setidak-tidaknya dapat diminimumkan.
“Kejayaan pelaksanaan penyelesaian ini bergantung kepada kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan sebagainya,” ketika dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.










